Sekolah Kepimpinan Isakhar (SKI) ialah sebuah program inisiatif oleh Wawasan Penabur yang bertujuan memuridkan dan memperlengkapkan generasi pelapis umat Kristian. SKI merupakan sebuah sekolah kepimpinan dan pemuridan Kristian yang dirancang khas untuk belia Kristian berbahasa Malaysia, terutamanya mereka yang baru menamatkan Tingkatan 5 serta pelajar kolej dan universiti yang sedang bercuti semester.
Kami percaya bahawa terdapat keperluan mendesak untuk melatih dan membimbing golongan muda Kristian supaya mereka dapat membina asas iman yang kukuh ketika melangkah ke alam dewasa.
Dengan tema “Pimpin Diri, Ikut Kristus”, SKI adalah sebuah sekolah Alkitab berkediaman selama 5.5 minggu yang dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Program ini direka untuk belia yang ingin bertumbuh dalam hubungan mereka dengan Tuhan, memperdalam pemahaman tentang Firman-Nya, serta mempelajari kemahiran praktikal untuk melayani dengan berkesan.
Fokus utama SKI adalah pada kepimpinan dan pemuridan berasaskan Firman Tuhan, sebagai landasan untuk semua aspek kehidupan. Sepanjang program ini, peserta akan mengalami masa keintiman rohani, pembelajaran mendalam, penemuan diri, dan tidak kurang juga keseronokan dalam komuniti Kristian yang menyokong dan membina.
Ayuh! Marilah bersama-sama kita membangunkan dan memperkukuhkan iman belia Kristian, agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran hidup, terutamanya godaan dan tekanan yang berpotensi menggugat iman mereka.
SKI turut bekerjasama dengan Wawasan Penabur dan Sabda Harian dalam menyediakan bahan bacaan rohani dalam Bahasa Malaysia bagi menyokong pertumbuhan iman para peserta.
Untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang percaya kepada Alkitab yang akan memberi impak kepada komuniti berbahasa Malaysia.
“Daripada bani Isakhar, orang yang mempunyai pengertian tentang saat-saat yang baik, sehingga mereka tahu apa yang patut diperbuat oleh orang Israel – 200 orang ketua, dengan semua saudara mereka di bawah perintah mereka.” - 1 Tawarikh 12:32
Pemuridan berakar umbi dalam Alkitab sebagai asas utama untuk kehidupan.
Keseimbangan antara pengetahuan (kepala), ketaatan dalam hidup (hati) dan pelayanan praktikal (tangan).
Penyediaan asas yang baik untuk kehidupan dan pelayanan.
Disiplin Kristian praktikal dipelajari melalui kehidupan komuniti bersama.