ASAS KAJIAN ALKITAB
Anda akan belajar asas-asas mengkaji dan membaca Alkitab bagi memahami gambaran keseluruhan tentang kisah Alkitab, dan cara mendekati pelbagai genre sastera Kitab Suci. Pendekatan yang berbeza untuk mempelajari dan mentafsir Alkitab secara peribadi atau dalam kumpulan kecil akan diajarkan, dengan aplikasi praktikal. Pelajar juga diperkenalkan kepada pelbagai alat yang tersedia untuk membantu seseorang memanfaatkan sepenuhnya pemahaman dan penerapan Alkitab.
ASAS-ASAS UNTUK PERTUMBUHAN
Memahami kedudukan Firman Tuhan sebagai kebenaran utama bagi kehidupan kita; bahawa manusia bukan hanya terdiri daripada badan dan jiwa, tetapi juga roh; prinsip-prinsip untuk memupuk roh kita; memahami identiti kita
dalam Kristus; belajar bagaimana untuk mengambil pendirian kita menentang dusta si jahat dengan kebenaran Firman Tuhan dan dalam kuasa Roh Kudus.
ASAS TEOLOGI PUJIAN & PENYEMBAHAN
Teologi penyembahan alkitabiah, bersama-sama dengan bantuan praktikal untuk meningkatkan kedalaman dan kualiti ibadah peribadi dan ibadah bersama.
DISIPLIN KEROHANIAN
Gambaran keseluruhan pelbagai disiplin rohani selain daripada yang telah dibincangkan secara lebih khusus di tempat lain dalam kurikulum: Disiplin meditasi, puasa, penyerahan, pemberian, perbuatan baik, penyangkalan diri, berdiam dan kesederhanaan. Pelajar juga mempraktikkan beberapa perkara ini semasa di sekolah.
MENEMUKAN HATI BAPA
Bagaimana mengenali Allah sebagai Bapa kita dan status kita sebagai anak-Nya menjadi asas bagi Allah untuk mengubah setiap aspek kehidupan kita.
TINJAUAN PERJANJIAN LAMA & BARU
Satu tinjauan menyeluruh bagi setiap perjanjian - struktur, tema utama dan kaitannya dengan keseluruhan Alkitab.
KEPIMPINAN
Dengan tema “Pimpin Diri, Ikut Kristus”, pelajar akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan kerana kita semua adalah seorang pemimpin, paling tidak memimpin diri sendiri. Dan bagaimana kepimpinan yang kita pelajari itu harus melihat Kristus sebagai satu teladan. Mereka juga akan didedahkan kepada pembelajaran kepimpinan untuk orang muda melalui Kepimpinan NextGen.
DOA & PEPERANGAN ROHANI
Pemahaman alkitabiah tentang doktrin doa, termasuk aspek-aspek berbeza tentang doa, dan cara praktikal ke arah mendalami kehidupan doa peribadi, serta mendengar dari Tuhan.
KEBEBASAN DALAM KRISTUS
Tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang Kristian membawa bersama mereka pelbagai bentuk keterikatan dan beban rohani, sama ada daripada latar belakang animisme mahupun agama-agama lain. Oleh itu, sesi pelepasan dan langkah-langkah menuju kebebasan dalam Kristus tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan.
KESIHATAN MENTAL & EMOSI
Satu sesi yang praktikal untuk membantu para pelajar mengenal pasti, mengambil tahu dan mengatasi masalah-masalah mental dan emosi yang sering dialami oleh para remaja. Isu berniat membunuh diri bukan sesuatu yang kita harus lepas pandang.
MISI & KERAJAAN ALLAH
Satu asas alkitabiah untuk misi, dan menangkap visi tentang apa yang Tuhan lakukan di dunia serta bagaimana seseorang boleh menjadi sebahagian daripada rancangan besar-Nya untuk bangsa-bangsa.
GEREJA & KOMUNITI
Apakah maksud sebenar gereja? Apakah yang Tuhan harapkan daripada saya dalam gereja lokal saya, dan juga dalam Gereja universal-Nya? Bagaimanakah saya menemui dan menggunakan kurnia rohani saya untuk pembangunan gereja?
DOKTRIN & APOLOGETIK
Doktrin utama dalam kepercayaan Kristian dijelaskan melalui pendekatan teologi Alkitabiah (berbanding teologi sistematik), yang merangkumi sifat dan karya Allah Tritunggal, doktrin tentang manusia dan dosa, keselamatan, peribadi dan pelayanan Kristus, serta Firman Allah. Selain memahami kebenaran-kebenaran ini, pendekatan apologetik membantu kita mempertahankan iman Kristian dengan menjawab soalan-soalan sukar dan isu-isu lazim yang sering dibangkitkan oleh mereka yang tidak percaya.
PELAYANAN KANAK-KANAK & REMAJA
Bagaimana untuk dapat mendekati, dan berkomunikasi secara berkesan dan kreatif dengan kanak-kanak dan remaja. Para pelajar belajar bagaimana untuk menggunakan kurikulum Lapan Permata dan OBOR Belia bagi membangunkan rancangan pelajaran yang bersesuaian dengan umur serta cara menyampaikan injil kepada kanak-kanak dan remaja.
SEKSUALITI / HUBUNGAN LELAKI-PEREMPUAN
Pemahaman alkitabiah tentang seksualiti berbanding kesilapan media dan budaya yang diputarbelitkan - mengapa Allah menjadikan kita lelaki dan perempuan, dan bagaimana kita menjalani hidup kita sesuai dengan jantina dan seksualiti kita dengan yakin, demi kemuliaan Tuhan. Mereka juga akan belajar beberapa garis panduan untuk hubungan romantis.
MENGENALI DIRI SENDIRI DAN PEMBERIAN KURNIA TUHAN
Apakah kekuatan dan kelemahan saya seperti yang Tuhan ciptakan diri saya? Apakah kurnia pemberian Tuhan kepada saya yang boleh digunakan demi kemuliaan nama-Nya? Bagaimana untuk mengetahui, memahami dan menyahut kehendak Tuhan bagi hidup saya?
MEDIA & KREATIVITI
Media merupakan bahagian penting dalam kehidupan remaja masa kini. Modul ini membantu pelajar memanfaatkan teknologi dalam era digital untuk mengembangkan kreativiti mereka, serta memahami bagaimana media dan kreativiti dapat diintegrasikan dengan iman dalam perjalanan mereka bersama Tuhan. Pelayanan kepada Tuhan juga perlu difahami sebagai suatu bentuk penyembahan yang lahir daripada hati yang mengasihi-Nya.
PELAYANAN MISI KE KAMPUNG ORANG ASLI
Para pelajar berpeluang mempraktikkan segala yang telah mereka pelajari di dalam kelas melalui pengalaman secara langsung di lapangan. Mereka akan tinggal di kampung Orang Asli selama 3 hingga 4 hari untuk menjalankan pelayanan, sekaligus melayani dan belajar bersama komuniti setempat.
PENGURUSAN WANG & MASA
Kemahiran hidup yang sangat penting dan praktikal bagi setiap orang Kristian. Topik ini mengajar pelajar tentang pengurusan sumber yang baik, termasuk wang dan masa—sebagai satu bentuk tanggungjawab terhadap apa yang telah Tuhan percayakan kepada kita.
BERSEDIA UNTUK MASUK SEMULA
Modul ini, yang dijalankan pada hari terakhir sekolah, membantu menyediakan pelajar untuk realiti pulang dari "pengalaman puncak gunung" mereka, membantu melengkapkan mereka untuk beberapa godaan dan kekecewaan yang mungkin mereka hadapi dalam realiti kehidupan pasca SKI.
Pelajar juga dikehendaki membaca sebuah buku yang berkaitan dengan pergerakan Tuhan di Sabah dan Sarawak. Sepanjang 3 minggu berikutnya, mereka dikehendaki membaca dan menulis sebuah laporan singkat yang merangkumi:
(a) Apa yang mereka pelajari dari buku itu;
(b) Apakah yang Tuhan katakan kepada mereka melalui buku itu; dan
(c) Apakah langkah-langkah pengaplikasian praktikal. Selain daripada faedah rohani yang jelas, ini juga untuk menggalakkan tabiat membaca buku-buku Kristian yang baik.
Program SKI termasuklah:
Kuliah dan bengkel
Renungan peribadi & berkumpulan
Tugasan dan jurnal
Ibadah dan doa bersama
Kehidupan komuniti
Mentoring
Team Building dan dinamik kumpulan kecil
Rehat & Rekreasi
Permainan dan aktiviti luar
Pendidikan lapangan
Lawatan misi hujung minggu dan perkampungan Orang Asli
Lawatan misi ke gereja-gereja lain
Peluang berkhutbah dan bersaksi
Majlis graduasi